Sunday, March 29, 2009

LAWATAN DARIPADA PDT KUALA KANGSAR


Pihak PDTD telah menerima kunjungan bermaklumat daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar pada 28 Mac 2009 baru-baru ini di mana lawatan ini telah diketuai oleh Pegawai Daerah Kuala Kangsar sendiri iaitu Yang Berbahagia Dato' Haji Mohd Gazali bin Jalal. Rombongan lawatan ini terdiri daripada seramai 40 orang termasuk pegawai-pegawai, kakitangan-kakitangan, penghulu dan lain-lain.

Kehadiran mereka pada jam 10.30 pagi, telah disambut oleh Tuan Haji Pegawai Daerah Dungun sendiri di kediamannya, di mana mereka kemudiannya dijamu dengan sarapan pagi di sana.



Selepas itu, satu sesi taklimat sempena lawatan ini telah disampaikan oleh Tuan KPPT Rosman, berkaitan profil jabatan dan sedikit sebanyak pengalaman menyertai AKPDT. Sesi ini telah berjaya membuka ruang perbincangan yang sangat bermanfaat dan pihak kami sangat terharu dengan respons positif oleh pihak pelawat.

Manakala, pada jam 2.30 petang, satu perlawanan persahabatan telah diadakan antara kedua-dua pihak dan acara-acara yang dipertandingkan adalah badminton dan ping pong.
Setelah selesai perlawanan, pihak pelawat telah bertolak pulang pada jam 5 petang.


Thursday, March 12, 2009

PERARAKAN MAULIDUR RASUL DUNGUN 2009


Tanggal 11 Mac 2009 baru-baru ini, Pejabat Daerah Dungun dengan hasil kerjasama bersama jabatan atau agensi lain, telah berjaya menganjurkan satu perarakan secara besar-besaran sempena sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W (Maulidur Rasul) bagi tahun 1430 Hijrah.

Pada awal jam 7.30 pagi lagi, semua peserta-peserta perarakan ini berkumpul di Padang Dewan Merdeka dan menunggu ketibaan Dif-dif Jemputan, yang sampai pada jam 8.10 pagi. Setelah acara Marhaban diperdengarkan oleh wakil-wakil jabatan masing-masing, para peserta mula berarak pada jam 8.45 pagi dengan diketuai oleh kumpulan dif-dif jemputan termasuk ketua-ketua jabatan yang terlibat.




Perarakan ini yang bermula dari Padang Dewan Merdeka, telah mengelilingi Jalan Tambun, Jalan Lim Teck Wan, Jalan Sungai Penaga dan kembali semula ke Padang Dewan Merdeka, dengan jarak lebih kurang 3km.

Laungan Selawat Nabi bergema hebat dan mendapat perhatian semua penduduk sekitar yang melihatnya. Perarakan ini kemudian tamat di Padang Dewan Merdeka pada jam 10.30 pagi.



Monday, March 9, 2009

HASIL KUTIPAN LUAR DI KG. PASIR RAJA & KG. SHUKOR

Sesi kutipan luar bagi cukai tanah semasa serta tunggakan cukai tanah di Kg. Pasir Raja dan Kg. Shukor, pada 7 Mac 2009 (Sabtu), baru-baru ini, berjalan dengan lancar. 'Skuad' kami tiba di Balai Raya Pasir Raja pada jam 9.30 pagi dan disambut dengan kehadiran Encik Haji Ramli bin Yunus (Pengerusi JKKK Kg. Pasir Raja). Kemudian, pada jam 2.15 petang, kami mula membuka kaunter di Balai Raya Kg. Shukor dan turut dibantu oleh Haji Zakaria bin Mahusin (Pengerusi JKKK Kg. Shukor).

Hasil kutipan yang diperolehi adalah sebanyak RM2160.00 di Kg. Pasir Raja, manakala di Kg. Shukor, hasil kutipan adalah RM2994.00. Jumlah keseluruhan bagi kedua-dua lokasi kutipan adalah RM6120.00. Secara kasarnya, terdapat peningkatan hasil kutipan berbanding tahun lepas (2008) iaitu hanya RM2106.00 berbanding hasil kutipan tahun ini.

Walau bagaimanapun, kutipan luar di Kg. Shukor pada tahun 2008, tidak dapat dijalankan berikutan masalah tiada bekalan elektrik di Balai Raya Kg. Shukor dan hanya di Kg. Pasir Raja sahaja, berjalan lancar.

Semoga usaha peningkatan hasil tanah ini, terus mendapat sambutan yang lebih menggalakkan daripada para pelanggan keseluruhannya dan seterusnya mendapat manfaat bermakna bersama.

Sunday, March 1, 2009

KUTIPAN LUAR CUKAI TANAH SEMASA 2009

Sesi kaunter kutipan luar bagi Bayaran Cukai Tanah Semasa serta Tunggakan Cukai Tanah, kini bermula semula pada 4 Mac 2009 ini.
Sesi kutipan ini biasanya dijalankan di lokasi kampung-kampung yang agak jauh dari Pejabat Tanah Dungun. Sebagai inisiatif memberi kemudahan kepada orang ramai, Bahagian Hasil PTD kini melaksanakan kaunter luar bagi kutipan cukai tanah dan seterusnya dapat meningkatkan hasil kerajaan serta menyelesaikan tunggakan cukai tanah.

Berikut adalah jadual kutipan yang akan dijalankan pada tahun ini: