Tuesday, December 23, 2008

LAWATAN DARIPADA MOA


Tanggal 22 Disember 2008 jam 12 tengah hari, pihak PDTD telah mendapat kunjungan istimewa daripada warga Cawangan Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia. Kami difahamkan mereka telah berada di Terengganu, sehari sebelum lawatan ke sini dan kunjungan ini bertujuan untuk melihat sendiri pencapaian organisasi PDTD dan bertukar maklumat mengenai pengurusan sumber manusia.

Tuesday, December 9, 2008

TAHNIAH! TEMPAT KEDUA AKPDT 2008!

Sejuta penghargaan dan syabas diucapkan kepada seluruh warga Pejabat Daerah dan Tanah Dungun atas penanugerahan Tempat Kedua Anugerah Kualiti Pentadbiran Daerah dan Tanah 2008 semasa Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008 di Putrajaya, 27 November 2008 baru-baru ini. Semoga warga PTD terus melangkah maju dan terus gemilang pada masa mendatang.

Saksikan rakaman detik-detik bersejarah ini.

Tuesday, September 9, 2008

APA ITU e-Tanah?

e-Tanah atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Permodenan Pejabat Tanah (SPPT)adalah satu projek sistem berkomputer secara bersepadu daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)

Pada permulaannya, satu kajian bagi SPPT ini yang siap Ogos 2002, telah dikemukakan kepada Jawatankuasa SPPT dan Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) serta agensi-agensi pusat dan diterima sebagai asas bagi melaksanakan projek ini. Pada 21 Mei 2003, projek SPPT disenaraikan sebagai salah satu sistem untuk menyokong pentadbiran tanah di setiap peringkat pentadbiran secara fast track, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Elektronik, pada 14 Ogos 2003, SPPT telah dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat ini dan SPPT mula dikenali sebagai e-Tanah.
Pada 18 Disember 2003, projek e-Tanah telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN)dan seterusnya diperakui sebagai salah satu aplikasi daripada projek Kerajaan Elektronik (e-Government).

e-Tanah melibatkan 9 modul utama yang terdiri dari 85 urusan pentadbiran tanah.Untuk mengetahui lebih lanjut, mengenai 85 urusan ini, sila klik di sini untuk melayari maklumat daripada Portal e-Tanah.

Sistem ini juga telah mengadaptasi satu sistem dari Pejabat Tanah dan Galian Terengganu, iaitu e-Consent, untuk modul Kebenaran atau Kelulusan Pindahmilik atau Gadaian bagi e-Tanah.
Pada masa kini, antara agensi serta jabatan yang terlibat dalam projek perintis e-Tanah ini adalah :
  • Pengarah Tanah dan Galian negeri Pulau Pinang;
  • Pejabat Tanah Daerah Pulau Pinang;
  • Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri;
  • Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (cawangan negeri Pulau Pinang);
  • Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN); dan
  • Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

** Rujukan daripada Portal e-Tanah,
http://www.etanah.gov.my

Sunday, July 27, 2008

LATIHAN PERBARISAN HARI KEBANGSAAN 2008 BERMULA...


Jam 9.00 pagi hari ini, satu latihan perbarisan PDTD sempena Hari Kebangsaan 2008 telah diadakan di mana seramai 27 orang kakitangan PDTD turun padang untuk latihan ini. Sesi latihan ini dijalankan di sekitar perkarangan bangunan PDTD, selama 2 jam sebagai persediaan perarakan jabatan pada Hari Kebangsaan Peringkat Negeri yang akan diadakan di Kemaman, Ogos ini.

Sunday, April 27, 2008

SOALAN-SOALAN LAZIM (F.A.Q)

1. Bilakah Pejabat Daerah Dungun diwujudkan dan siapakah Pegawai Daerah yang pertama?
Pejabat Daerah Dungun diwujudkan pada tahun 1929 dan Pegawai Daerah yang pertama ialah Y.M Tengku Muda (Abdullah bin A. Rahman).

2. Bilakah perasmian pembukaan Pejabat Daerah Dungun dan siapakah merasmikan pembukaannya?
Pejabat Daerah Dungun mula dirasmikan pada 31 Mac 1962, oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Al-Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu.

3. Apakah perkhidmatan-perkhidmatan utama Pejabat Tanah Dungun?
Antara perkhidmatan-perkhidmatan utama yang disediakan di Pejabat Tanah Dungun adalah :
i) Pemberimilikan Tanah
ii) Lesen Menduduki Sementara
iii) Permit Pengalihan Bahan Batuan
iv) Perizaban Tanah
v) Pendaftaran Hakmilik Sementara
vi) Pendaftaran Hakmilik Kekal
vii) Pendaftaran Urusniaga Tanah
viii) Pendaftaran Bukan Urusniaga Tanah
ix) Perintah Jual
x) Tukar Syarat Tanah
xi) Tukar Syarat dan Pecah Sempadan Tanah Serentak
xii) Pecah Sempadan / Pecah Bahagian / Cantuman Tanah
xiii) Serah Balik dan Berimilik Semula Tanah
xiv) Pengambilan Tanah
xv) Kebenaran Urusniaga
xvi) Penguatkuasaan Tanah
xvii) Pengurusan Hasil Tanah