Tuesday, September 15, 2009

Monday, April 27, 2009

PAMERAN PDD & KUTIPAN LUAR PTD DI KETENGAH

Pihak KETENGAH telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan kali ke 2/2009 di Kompleks Sukan, Bandar Al-Muktafi Billahi Shah, Dungun pada 26 April 2009 dan Pihak PDTD telah dijemput bersama untuk mengadakan pameran jabatan. Pameran ini menerangkan serba sedikit profil serta aktiviti organisasi PDTD kepada kunjungan umum di samping memberi khidmat nasihat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh PDTD.
Bahagian Hasil PTD juga telah mengambil inisiatif segera untuk membuka sesi kutipan luar cukai tanah di booth pameran tersebut, bermula jam 10.00 pagi sehingga ke waktu petang. Hasil kutipan luar yang diperolehi adalah RM1098.00 dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung di sana. Pihak KETENGAH juga telah bersetuju untuk menetapkan satu sesi kutipan luar bersepadu dengan pihak PTD pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.



Monday, April 20, 2009

LAWATAN DARIPADA PDT KUALA LANGAT


Pada 19 April 2009, jam 10.00 pagi, pihak PDTD telah menerima kunjungan mesra daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Selangor, terdiri daripada 44 orang dan diketuai oleh Encik Shaqul Rahim bin Haji Omar, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan).

Seperti biasa, satu taklimat khas sempena lawatan ini disampaikan oleh KPPT Encik Rosman, mengenai profil organisasi PDTD dan maklumat penyertaan AKPDT. Pihak kami telah mendapat respons yang sangat positif daripada PDT Kuala Langat di mana mereka menyatakan rasa turut berbangga dengan kejayaan PDTD dalam AKPDT, apabila ada entiti Pejabat Daerah dan Tanah yang layak memenangi anugerah tersebut.

Kemudian, satu jamuan makan tengah hari telah disediakan kepada pihak pelawat di Kediaman Pegawai Daerah Dungun dan telah disambut mesra oleh Tuan Haji Pegawai Daerah sendiri. Program lawatan ini bersurai pada jam 2.15 petang.



Wednesday, April 15, 2009

LAWATAN DARIPADA PDT PEKAN

Baru-baru ini, pada 14 April 2009,satu lawatan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Pahang telah berlangsung di mana lawatan seramai 10 orang ini, tiba pada jam 11.00 pagi di PDTD. Tuan KPPT Rosman telah menyampaikan satu sesi taklimat sempena lawatan ini mengenai profil jabatan dan sedikit sebanyak pengalaman menyertai AKPDT di Bilik Gerakan. Kemudian, para tetamu dijamu dengan hidangan tengah hari di Kantin PDTD dan berlepas pulang pada jam 2.00 petang.

Monday, April 6, 2009

HASIL KUTIPAN LUAR DI KG. KUALA JENGAI & KG. JONGOK BATU

Kali ini, sesi kutipan luar bagi cukai tanah semasa serta tunggakan cukai tanah telah dijalankan di Kg. Kuala Jengai dan Kg. Jongok Batu, pada 4 April 2009 (Sabtu), baru-baru ini.

Hasil kutipan yang diperolehi adalah sebanyak RM1311.00 di Kg. Kuala Jengai, manakala di Kg. Jongok Batu, hasil kutipan adalah RM718.00. Jumlah keseluruhan bagi kedua-dua lokasi kutipan adalah RM2029.00. Secara kasarnya, berlaku penurunan hasil kutipan yang ketara berbanding tahun lepas (2008) iaitu kira-kira RM10,052.80.

Ini kerana, kebanyakan pembayar cukai tanah telah pun melaksanakan kewajipan mereka lebih awal pada tahun ini, di Kaunter Hasil PTD. Walau bagaimanapun, pihak kami tetap berusaha untuk meningkatkan prestasi kutipan hasil tanah dan kini giat menjalankan usaha-usaha peningkatan tahap kesedaran tentang kewajipan membayar cukai tanah, di kalangan masyarakat.



Sunday, March 29, 2009

LAWATAN DARIPADA PDT KUALA KANGSAR


Pihak PDTD telah menerima kunjungan bermaklumat daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar pada 28 Mac 2009 baru-baru ini di mana lawatan ini telah diketuai oleh Pegawai Daerah Kuala Kangsar sendiri iaitu Yang Berbahagia Dato' Haji Mohd Gazali bin Jalal. Rombongan lawatan ini terdiri daripada seramai 40 orang termasuk pegawai-pegawai, kakitangan-kakitangan, penghulu dan lain-lain.

Kehadiran mereka pada jam 10.30 pagi, telah disambut oleh Tuan Haji Pegawai Daerah Dungun sendiri di kediamannya, di mana mereka kemudiannya dijamu dengan sarapan pagi di sana.



Selepas itu, satu sesi taklimat sempena lawatan ini telah disampaikan oleh Tuan KPPT Rosman, berkaitan profil jabatan dan sedikit sebanyak pengalaman menyertai AKPDT. Sesi ini telah berjaya membuka ruang perbincangan yang sangat bermanfaat dan pihak kami sangat terharu dengan respons positif oleh pihak pelawat.

Manakala, pada jam 2.30 petang, satu perlawanan persahabatan telah diadakan antara kedua-dua pihak dan acara-acara yang dipertandingkan adalah badminton dan ping pong.
Setelah selesai perlawanan, pihak pelawat telah bertolak pulang pada jam 5 petang.


Thursday, March 12, 2009

PERARAKAN MAULIDUR RASUL DUNGUN 2009


Tanggal 11 Mac 2009 baru-baru ini, Pejabat Daerah Dungun dengan hasil kerjasama bersama jabatan atau agensi lain, telah berjaya menganjurkan satu perarakan secara besar-besaran sempena sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W (Maulidur Rasul) bagi tahun 1430 Hijrah.

Pada awal jam 7.30 pagi lagi, semua peserta-peserta perarakan ini berkumpul di Padang Dewan Merdeka dan menunggu ketibaan Dif-dif Jemputan, yang sampai pada jam 8.10 pagi. Setelah acara Marhaban diperdengarkan oleh wakil-wakil jabatan masing-masing, para peserta mula berarak pada jam 8.45 pagi dengan diketuai oleh kumpulan dif-dif jemputan termasuk ketua-ketua jabatan yang terlibat.




Perarakan ini yang bermula dari Padang Dewan Merdeka, telah mengelilingi Jalan Tambun, Jalan Lim Teck Wan, Jalan Sungai Penaga dan kembali semula ke Padang Dewan Merdeka, dengan jarak lebih kurang 3km.

Laungan Selawat Nabi bergema hebat dan mendapat perhatian semua penduduk sekitar yang melihatnya. Perarakan ini kemudian tamat di Padang Dewan Merdeka pada jam 10.30 pagi.